‘Tambah 50 ke 70 tahun’ – Freddie Fernandez

‘Tambah 50 ke 70 tahun’ – Freddie Fernandez

Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mencadangkan kerajaan untuk menambah tempoh perlindungan hak cipta kepada 70 tahun berbanding 50 tahun selepas kematian pencipta sesebuah karya seni.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez ketika dihubungi berkata, walaupun perkara ini berkaitan undang-undang negara, tetapi dia percaya kerajaan boleh melakukan sesuatu dalam usaha membantu waris pengkarya yang masih hidup.

“Saya yakin cadangan ini akan diterima baik oleh komposer serta pemegang hak cipta sesebuah karya kerana tempoh perlindungan yang diterima mereka akan lebih lama,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kontrak royalti lagu karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diterima anaknya, Sazali, 63, daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) bakal tamat tahun depan seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Freddie juga berharap kerajaan dapat memperuntukkan sedikit sumbangan kepada satu-satunya anak Seniman Agung itu yang masih hidup bagi memberi penghormatan kepada karya-karya Allahyarham yang terus diingati sehingga kini.

“Kalau minta pihak swasta untuk bantu selalunya bermotifkan keuntungan tapi perkara ini harus dicadangkan kepada kerajaan. Sebagai waris, dia juga layak menerima bantuan walaupun tidak seberapa. Sumbangan yang diberikan adalah tanda penghormatan kepada karya-karya bapanya,” katanya.

Harian Metro menerusi muka depan hari ini melaporkan Sazali kini buntu apabila kontrak royalti lagu karya bapanya yang diperoleh daripada MACP bakal tamat tahun depan.

Sazali berkata, bantuan bulanan diterima daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan dia dan isterinya, Hamidah Hitam.

“Selama ini, saya bergantung hidup dengan duit royalti itu untuk buat beli barangan dapur, pengangkutan ke hospital, rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan, temujanji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri,” katanya.

Related post

About

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi
Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.

Get in touch

Persatuan Karyawan Malaysia
No F-18-5-1 Jalan Semarak Api 3,
Diamond Square Commercial Centre,
Jalan Wangsa Delima 5,
Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur

Tel:+6012 207 1400
Mobile : 012 315 3988 (Hj Kamal)