SIARAN AKHBAR: HERET KERAJAAN KE MAHKAMAH, LEPAS ITU MINTA BANTUAN

SIARAN AKHBAR: HERET KERAJAAN KE MAHKAMAH, LEPAS ITU MINTA BANTUAN

12 June 2026

Karyawan beri teguran kepada M.Nasir dan Sheila Majid

Sejak berpuluh tahun yang lepas artis dan komposer tempatan telah mengadu tentang soal penindasan dan ketidakadilan dalam hal-hal berkaitan perjalanan badan kutipan dan cara pengurusan royalti di negara ini.

Selepas mendengar keluhan dari penggiat muzik sekian lama, akhirnya kerajaan telah bertindak. Pada bulan Mac 2025 dalam satu majlis dinamakan Advokasi Royalti Muzik, Menteri KDPN Datuk Armizan Mohd Ali telah mengumumkan bahawa suatu Garis Panduan baharu terhadap badan kutipan royalti bakal diperkenalkan oleh kerajaan dan dicadangkan berkuatkuasa pada Januari tahun 2026 untuk menangani segala ketidakpuasan yang wujud di kalangan penggiat muzik.

“Yang amat mengejutkan ialah tiga badan kutipan iaitu MACP, PPM dan RPM tidak hadir pada majlis tersebut, seolah-olah memulau majlis itu mungkin kerana tidak setuju dengan Garis Panduan tersebut.

“Bagi kami apa yang dilakukan oleh tiga badan tersebut ialah sesuatu yang amat kurang sesuai dan biadap terhadap Menteri yang telah meluangkan masa untuk hadir majlis tersebut, yang dianggap amat penting untuk mantapkan lagi proses kutipan royalti” kata Datuk Freddie Fernandez, Presiden Karyawan.

“Beberapa bulan selepas itu kami dikejutkan lagi dengan lagi satu berita bahawa ketiga-tiga badan tersebut telah mengambil tindakan mahkamah keatas Menteri dan mohon kepada mahkamah untuk menghapuskan Garis Panduan itu.”

“Tindakan ini bagi kami merupakan satu sikap tidak hormat terhadap Menteri dan kerajaan Madani pada keseluruhuhannya. Apatah lagi dua antara tiga badan yang mengambil tindakan terhadap Menteri dan kerajaan diterajui oleh dua orang yang terkenal iaitu komposer Datuk M.Nasir dan penyanyi Datuk Sheila Majid.

M. Nasir merupakan Pengerusi MACP, badan kutipan untuk komposer dan Sheila adalah Pengerusi RPM badan kutipan untuk artis. Soalan yang terlintas dalam fikiran kami ialah bukankah mereka sebagai rakan penggiat muzik dalam industri sama-sama ingin melihat pelindungan yang lebih kukuh ke atas hak artis yang selama ini dicabul oleh pihak tertentu. Kami tak berapa faham kenapa mereka ingin menghapuskan Garis Panduan Kementerian ini yang banyak memberi pelindungan dan membela nasib dan hak komposer dan artis.”

“Yang lebih mengecewakan ialah mereka juga tidak merujuk kepada ahli-ahli mereka sebelum mengambil tindakan yang drastik itu dan terus menjalankan tindakan mahkamah terhadap kerajaan yang sebelum ini sering menyokong segala usaha kami” tambah beliau.

“Yang menjadi ironi sekarang ialah mereka sekarang menimbulkan isu AI sebagai ancaman terhadap industri muzik melalui satu badan yang tidak pernah kami dengar sebelum ini iaitu Music Rights Alliance, dan mohon kerajaan membantu mengambil tindakan dan menggubal undang-undang untuk mengawal perkara itu”

“Bagi kami keadaan ini merupakan suatu yang amat berironi, kerana dari satu sudut mereka ambil tindakan mahkamah terhadap susuatu langkah kerajaan yang dianggap baik, tetapi sekarang mohon bantuan kerajaan pula atas suatu gejala yang lain yang mungkin membawa kesan buruk kepada mereka”

“Kami anggap perkara ini tidak wajar berlaku apatah lagi dua nama besar ini telah bertanggunjawab sebagai Pengerusi badan-badan yang mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan.”

“Pihak Karyawan akan menganjurkan satu Konvensyen Penggiat Muzik pada 21 Jun ini bertempat di Saloma Kuala Lumpur di mana kami akan membincang dengan dalam semua perkara yang berkaitan dengan industri muzik termasuk AI. Kami rasa dengan hubungan baik yang dijalinkan antara Karyawan dan kerajaan kami dapat mengadakan perbincangan dua hala untuk menentukan hak komposer dan artis dijaga sebaik-baiknya”.

“Yang penting ialah Karyawan menghargai semua langkah kerajaan untuk membantu membangunkan industri muzik selama ini dan pada masa yang sama kutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak yang cuba menghalang langkah kerajaan untuk membela nasib penggiat muzik” tambah beliau.

Related post

About

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi

Malaysian Artistes' Association | Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN)
Malaysian Artistes' Association | Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.

Get in touch

Persatuan Karyawan Malaysia
No F-18-5-1 Jalan Semarak Api 3,
Diamond Square Commercial Centre,
Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur

Tel:+6012 207 1400
Mobile : 012 315 3988 (Hj Kamal)