Nas Ahmad Perlukan Rawatan Jantung Segera
Petaling Jaya: “Nak berjalan 100 meter pun saya mengah… penglihatan kini semakin kabur”.
Itu luahan bekas wartawan hiburan, Nas Ahmad yang popular dengan tagline ‘terjah’ menerusi program Galaksi terbitan TV9 suatu ketika dahulu.
Berkongsi perkembangan terkini selepas didiagnos menghidap penyakit jantung dua tahun lalu, pemilik nama Mohd Nasir Ahmad itu mengakui merindui dunia penyiaran.
Meskipun berdepan ujian getir iaitu penyakit jantung yang membataskan pergerakannya, Nas Ahmad tetap seperti dahulu senyum menerima kunjungan tetamu.
Nas berkata dia kini tidak mampu bekerja berikutan masalah kesihatan yang dialami malah bergantung sumber pendapatan anak-anaknya.
Bekas wartawan ini berkata, orang mungkin menyangka apabila dia tampil dalam program TV kehidupannya agak senang sedangkan hakikatnya berbeza.
Nas kini dibantu Pusat Zakat Selangor untuk bayaran rumah bernilai RM800.
“Saya mudah mengah kalau nak menapak jauh sangat, tak sampai 100 meter pun dah penat disebabkan satu saluran di jantung yang tersumbat.
“Kena banyak berehat, itu menyebabkan saya tak boleh bekerja seperti sedia kala. Saya rindu nak bekerja, nak keluar shooting nak bantu bela nasib industri.
“Dahulu saya keluarkan cerita mengenai artis sakit dan dapatkan sumbangan. Itu rezeki dia. Sekarang masa saya pula. Tiba-tiba zero income dan kini jadi asnaf. Jadi saya serahkan kepada rezeki,” katanya dipetik daripada laman sesawang Buletin TV3.
Nas memberitahu dia kini menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan sten.
Tempoh menunggu yang agak lama menyebabkan beliau mengalami masalah kaki bengkak hingga susah solat.
Setiap minggu pula, Nas berulang alik ke Hospital Serdang dan Sungai Buloh.
“Saya tidak mempunyai insuran, tak ada pekerjaan… tak mampu untuk buat rawatan di hospital swasta. Saya sedang menunggu giliran di hospital kerajaan. tak saya sangat faham pesakit ramai, dan hospital ketika ini penuh.
Jadi bila tarikh saya akan jalani pembedahan itu, doktor sendiri belum berani nak janjikan bila… cuma bila doktor pesan kalau tak tahan terus ke kecemasan segera,” tambahnya.
Keadaan kesihatan beliau turut mendapat perhatian Persatuan Karyawan Malaysia.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, selaku wartawan Nas berjasa kerana banyak memaparkan kesusahan artis.
“Siapa sahaja tak kenal Nas Ahmad, kami sentiasa ingat bagaimana prihatinnya dia terhadap industri ini.
“Dia banyak membantu menaikkan nama Persatuan juga, kini inilah masa kami mengenang jasa itu,” katanya yang turut memberikan sumbangan untuk meringankan beban.
Related
Related post
-
6 jam lalu -
1 minggu lalu OKU FEST 2.0: Festival Seni Insan Istimewa
-
About
Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi
Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.