Karyawan sumbang RM5,000 bantu anak autisme di Langkawi
Langkawi: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) memberikan sumbangan RM5,000 kepada Pusat Jagaan Autisme Langkawi (LACC) bagi meringankan beban kewangan pengurusan harian pusat itu.
Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, pihaknya memahami kos operasi untuk menguruskan pusat jagaan autisme sentiasa berada dalam keadaan sempurna memerlukan kos yang tinggi.
“Kita memberikan bantuan supaya operasi harian pusat ini yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu dan memiliki 45 anak-anak autisme terus berjalan lancar, sekali gus menjaga kebajikan pendidikan anak-anak istimewa terbabit.
“Karyawan tidak mengehadkan bantuan dan kerja amal kepada artis saja, malah kita juga menganjurkan majlis bacaan Yasin dan Tahlil buat bekas wartawan hiburan Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin (Huzz).
“Kita sudah membantu ramai juru solek artis, jurugambar dan pereka tari yang memerlukan bantuan selepas dimaklumkan kepada persatuan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bersama Datuk Khadijah Ibrahim di sini, hari ini.
Khadijah berkata, sumbangan kepada LACC itu adalah sebahagian dana RM100,000 yang dikumpulkan menerusi konsert Makan Malam Amal The Legends yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Jun lalu.
“Konsert amal itu akan diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1 November ini dengan harapan dapat mengumpul lebih banyak dana bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada pelbagai pihak memerlukan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus merangkap Pengetua LACC, Mastura Abdul Mutalib berkata, pihaknya gembira dan amat menghargai sumbangan kewangan oleh Karyawan bagi meringankan beban kewangan ditanggung pusat itu.
“Terima kasih atas sumbangan hari ini dan ia sangat bermakna. Kami akan gunakan untuk membayar sewa bangunan, gaji kakitangan, pembelian bahan pembelajaran untuk anak-anak autisme yang ada di pusat ini,” katanya.
Related
Related post
-
2 minggu lalu -
3 minggu lalu OKU FEST 2.0: Festival Seni Insan Istimewa
-
About
Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi
Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.