KARYAWAN bantu rawatan mata Iqbal

KARYAWAN bantu rawatan mata Iqbal

KLANG: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) akan membantu pelakon Iqbal Mazlan yang mengalami cacat penglihatan mendapatkan slot menjalani pemeriksaan dengan pakar bedah mata, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan temu janji dalam tempoh terdekat ini.

“Sebelum ini, Iqbal ada memaklumkan kepada saya yang dirinya pernah berusaha untuk mendapatkan slot temu janji dengan Dr Muhaya, namun tidak berjaya.

“Saya tengah aturkan temu janji dengan Dr Muhaya untuk membawa Iqbal membuat pemeriksaan mata.

“Saya sudah menghubungi dan akan bawa Iqbal bertemu Dr Muhaya selepas pulang dari Langkawi, minggu depan.

“Insya-Allah, saya akan usahakan,” katanya kepada BH Online.

Ditanya adakah KARYAWAN akan menanggung kos perubatan Iqbal, Khadijah berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas mereka mengetahui hasil pemeriksaan dijalankan.

“Buat masa ini, kami tengok dulu macam mana keadaannya. Itu paling mustahak.

“Selebihnya kami akan usahakan dan sedaya upaya membantu. Ini kerana kami hanya mahu lihat Iqbal segera pulih,” ujarnya ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada Iqbal oleh Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez di kediaman Iqbal di Kapar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Iqbal meluahkan rasa teruja dengan kesudian KARYAWAN membantu memudahkan urusannya mendapatkan slot temu janji tersebut.

“Saya memang tak pernah putus asa dan sentiasa positif untuk merawat penyakit mata ini.

“Jika ada ikhtiar lain, saya tetap akan cuba. Saya memang sudah lama nak dapatkan slot untuk mendapatkan rawatan dengan Dr Muhaya sejak penghujung tahun lalu, tapi tak berjaya.

“Saya bersyukur sangat bila KARYAWAN mahu membantu,” luahnya.

Terdahulu, Iqbal dimasukkan ke Hospital Shah Alam selepas berdepan dengan masalah penglihatan secara mengejut pada 5 Mac tahun lalu.

Susulan itu, Iqbal kini hanya mampu melihat biasan cahaya pada mata sejak mengalami penyakit berkenaan.

Related post

About

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi
Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.

Get in touch

Persatuan Karyawan Malaysia
No F-18-5-1 Jalan Semarak Api 3,
Diamond Square Commercial Centre,
Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur

Tel:+6012 207 1400
Mobile : 012 315 3988 (Hj Kamal)