Konsert Amal “Malam Rindu Bayangan” Kenang Legenda Muzik Tanah Air, Jay Jay

Konsert Amal “Malam Rindu Bayangan” Kenang Legenda Muzik Tanah Air, Jay Jay

AMPANG, 12 Mei – Konsert amal bagi mengenang pemuzik legenda tanah air, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi bin Darus, berlangsung dengan penuh emosi dan kemeriahan di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang malam tadi.

Acara bertajuk “Malam Rindu Bayangan” itu mendapat sambutan hangat apabila jualan meja habis dijual, memaksa pihak penganjur menambah meja tambahan bagi menampung kehadiran peminat dan penderma. Konsert ini merupakan inisiatif anak bongsu Allahyarham, Nur Camelia (Cammy), yang berhasrat memberi penghargaan kepada ayahandanya yang meninggal dunia pada 4 Ogos 2024 lalu pada usia 67 tahun.

Nur Camelia atau Cammy (tengah) menyanyikan beberapa buah lagu asal Jay Jay

Konsert yang bermula jam 8 malam dan berlangsung selama tiga jam itu menampilkan barisan artis terkenal seperti Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt Black Dog Bone, dan Tam Spider. Persembahan turut diserikan dengan kemunculan istimewa barisan asal kumpulan Carefree (kumpulan asal Jay Jay), sementara Hairee Kool dan Tengku Hadirah membuka acara dengan persembahan pra-konsert.

Persembahan malam tersebut diiringi barisan pemuzik hebat tanah air termasuk Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist, Paan Percussion dan Firdaus di keyboard. Dato’ Freddie, rakan seperjuangan Allahyarham, menyifatkan Jay Jay sebagai “seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai.”

Barisan asal kumpulan Carefree (kumpulan asal Jay Jay)

Selain persembahan muzik, acara ini turut menampilkan jualan amal lukisan penghargaan karya seniman Fathullah Luqman dari Spiral Kinetik Circus dan kumpulan kultus seni, Infectious Maggots. Lukisan-lukisan tersebut dijual secara lelongan, dan menarik perhatian penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, yang menjadi salah seorang pembida tertinggi malam itu.

Kemunculan YBhg. Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ke-10, sebagai tetamu khas turut menyerikan acara. Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada beberapa artis dan insan seni yang memerlukan, antaranya Sazali P. Ramlee, pelakon Iqbal Mazlan, penyanyi veteran Mariam Ahmad, penyanyi Zaiton Sameon serta balu Allahyarham Jay Jay, Zaitoon Wahid.

Malam penuh nostalgia itu turut menyaksikan kejutan apabila sifu muzik tersohor tanah air, M. Nasir, tampil secara sukarela menyanyikan lagu hitnya “Raikan Cinta”. Dalam ucapannya, beliau berkongsi memori pertemuan pertamanya bersama Allahyarham Jay Jay hampir 45 tahun lalu.

“Pertemuan pertama kali saya dengan Jay Jay waktu itu saya di atas pokok sewaktu menonton persembahan Carefree di sebuah panggung di Singapura. Saya tiada duit, tiada siapa kenal saya. Di atas pokok itu saya menonton pementasan. Itulah pertama kali saya nampak Jay Jay… dan siapa sangka, akhirnya dia menjadi pemain bass saya, merakamkan lagu dengan saya dan mewarnai hidup saya,” kata M. Nasir penuh sebak.

Dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dengan kerjasama GBH Kuala Lumpur, Malam Rindu Bayangan bukan sekadar sebuah konsert, tetapi menjadi medan solidariti untuk menghargai sumbangan penggiat seni dan membantu mereka yang diuji dalam kehidupan. Ia juga menjadi satu peringatan bahawa jasa dan bakti seniman seperti Jay Jay tetap hidup dalam kenangan dan hati peminat muzik tanah air.

Kredit foto: Papa Din.
Berita Oleh : https://kelkatutv.com/konsert-amal-malam-rindu-bayangan-kenang-legenda-muzik-tanah-air-jay-jay/

Related post

About

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi
Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.

Get in touch

Persatuan Karyawan Malaysia
No F-18-5-1 Jalan Semarak Api 3,
Diamond Square Commercial Centre,
Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur

Tel:+6012 207 1400
Mobile : 012 315 3988 (Hj Kamal)