Cadang akademi seni oku

Cadang akademi seni oku

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dipilih oleh Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D Jacob yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) untuk membantu menubuhkan Akademi Seni OKU.

Menerusi pemilihan ini, Karyawan akan membantu kerajaan dalam penubuhan sebuah Akademi Seni khas untuk golongan OKU.

Akademi ini akan memberi tumpuan khusus kepada golongan OKU yang ingin menceburi bidang seni sebagai bidang kerjaya pilihan mereka.

Menurut Isaiah, Karyawan diberi tanggungjawab terbabit kerana mereka begitu komited membantu orang OKU yang berbakat dalam bidang seni.

“Mereka sudah dua kali anjurkan Festival Seni Khas untuk golongan OKU dengan jayanya dan saya difahamkan bahawa Karyawan sentiasa membantu OKU yang berkecimpung dalam bidang seni, seperti buskers, seniman jalanan dan pemuzik,” katanya.

Perkara ini dimaklumkan oleh Isaiah ketika Majlis Perasmian OKU Fest atau Festival Seni Insan Istimewa di Panggung Bandaraya baru-baru ini yang membawa tema ‘My Ability Is Stronger Than My Disability’ (Keupayaan saya lebih kuat daripada kecacatan saya).

Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya bersyukur terhadap kepercayaan diberikan dan berjanji akan terus berusaha untuk membantu golongan OKU yang akan menyertai Akademi Seni terbabit pada masa akan datang.

“Kami akan terus berusaha menentukan Akademi Seni OKU itu dapat ditubuhkan dan memainkan peranan penting untuk membangun modal insan OKU yang ada kebolehan dalam bidang kesenian,” katanya.

Turut terbabit dalam OKU Fest adalah Altimet seorang artis yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lembah Jaya.

Altimet yang menghadapi disleksia, berkongsi bagaimana beliau sudah mengatasi segala cabaran yang dihadapinya dan akhirnya dapat mencapai kejayaan bukan sahaja sebagai seorang artis, malah seorang ahli politik yang mendapat kepercayaan pengundi Lembah Jaya.

Sebelum ini, OKU Fest pernah diadakan pada Oktober 2022 dengan pelbagai program dan aktiviti menarik diadakan khusus buat golongan istimewa itu.

Selain nyanyian turut diadakan adalah pertandingan Canting Batik khas untuk kanak-kanak autisme, persembahan OKU Jam, forum dan pelbagai pameran.

Festival anjuran Karyawan mendapat sokongan penuh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), serta rakan strategik seperti Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan Dyslexia Genius.

Related post

About

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi
Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.

Get in touch

Persatuan Karyawan Malaysia
No F-18-5-1 Jalan Semarak Api 3,
Diamond Square Commercial Centre,
Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur

Tel:+6012 207 1400
Mobile : 012 315 3988 (Hj Kamal)