200 PENGGIAT MUZIK DIJANGKA HADIRI KONVENSYEN PENGGIAT MUZIK PADA 21 JUN

200 PENGGIAT MUZIK DIJANGKA HADIRI KONVENSYEN PENGGIAT MUZIK PADA 21 JUN

SIARAN AKHBAR PERSATUAN KARYAWAN MALAYSIA 1 JUN 2026

200 PENGGIAT MUZIK DIJANGKA HADIRI KONVENSYEN PENGGIAT MUZIK PADA 21 JUN

Lebih 200 artis dan penggiat muzik dijangka akan menghadiri sebuah Konvensyen Penggiat Muzik pada 21 Jun ini di Restoran Saloma di Jalan Ampang Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia.

Konvensyen ini bertujuan memberi platform kepada penggiat muzik untuk menyuarakan pandangan serta mendapatkan penjelasan tentang pelbagai isu yang masih kabur dan mengelirukankan dalam industri ini.

“Sudah pasti antara topik utama yang akan dibincangkan ialah hakcipta dan royalti. Isu royalti telah lama membelenggu golongan artis sehingga ramai yang berputus asa dan tidak lagi mahu memikirkannya. Kami akan mendedahkan tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menindas penggiat muzik dan menafikan hak mereka dalam soal royalti” kata Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia.

“Antara topik lain yang akan dibincangkan ialah kecerdasan buatan (AI) dan impaknya terhadap industri muzik, geran dan penganjuran konsert, perkembangan terkini dalam bidang pendidikan muzik, serta peranan media sosial dalam pemasaran muzik digital masa kini.”

“Kami sedang mengenal pasti pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk dilantik sebagai ahli panel bagi mendidik peserta serta menjawab soalan-soalan mereka, terutamanya daripada generasi muda yang selama ini tidak berpeluang mendapatkan penjelasan menyeluruh tentang perkara-perkara ini,” kata Freddie.

“Harapan kami adalah untuk mengemukakan beberapa resolusi berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan, yang akan diserahkan dalam bentuk memorandum kepada YAB Perdana Menteri selepas Konvensyen ini. Kami mengetahui bahawa Perdana Menteri amat prihatin terhadap nasib artis dan penggiat muzik tempatan, dan dengan sokongan beliau, harapan kami ialah industri muzik akan terus berkembang maju demi menjamin masa depan yang lebih cerah bagi semua penggiat muzik.”

Freddie memberi penghargaan kepada pengurusan Restoran Saloma KL kerana membantu menaja tempat dan makanan untuk mereka yang hadir.

“Pihak Saloma KL sememangnya telah banyak membantu artis-artis yang kurang bernasib baik setiap tahun, dan menjadi rakan setia kami dalam menjaga kebajikan artis. Kini mereka memberikan sokongan pula dalam menjayakan konvensyen yang begitu penting ini bagi menentukan masa depan penggiat muzik yang lebih terjamin. Terima kasih, Saloma KL.”

“Industri muzik tidak lagi seperti dahulu di mana terdapat banyak peluang untuk penggiat muzik membina kerjaya dalam bidang muzik. Kini peluang pekerjaan semakin terhad dan ramai yang terpaksa menjadi penghibur jalanan semata-mata untuk mencari rezeki. Justeru, konvensyen ini sungguh tepat masanya,” ujar beliau.

Related post

About

Persatuan Karyawan Malaysia Rasmi

Malaysian Artistes' Association | Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN)
Malaysian Artistes' Association | Persatuan Karyawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai KARYAWAN telah didaftar dengan rasminya pada tahun 2000 selaku sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai nasib para penggiat seni tanahair.

Get in touch

Persatuan Karyawan Malaysia
No F-18-5-1 Jalan Semarak Api 3,
Diamond Square Commercial Centre,
Off Jalan Gombak,
53000 Kuala Lumpur

Tel:+6012 207 1400
Mobile : 012 315 3988 (Hj Kamal)